Friday, January 18, 2019

Mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia


TMC BM Sermon   Mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia
                                                                             2hb Oktober, 2014.
Matius 19:1-12
Idea Utama: Jangan bercerai sebagai suami dan isteri
Objektif: a.  Mengajar jemaah BM mentaati ajaran Yesus supaya tidak bercerai.
b.     Mengajar jemaah tentang kesan-kesan buruk perceraian suami-isteri.
c.      Mendidik jemaah supaya mendirikan keluarga kekristianan.

A.   Pengenalan
-         Saya percaya ramai Kristian belum tahu lagi perceraian mengikut ajaran Yesus adalah salah.  Ada juga Kristian yang tahu ajaran Yesus ini tetapi mereka masih bercerai.  Adatah terdapat Kristian begini?  Mungkin kita malu mengakuinya.  Saya doakan firman Allah hari ini akan membangunkan kita sehingga kita menolak perceraian dan kita dapat bersaksi kerana ada perkahwinan yang memuliakan Yesus.
-         Saya tak nak meminta kamu mengangkat tangan untuk menunjukkan kamu pernah atau tidak bercerai.  Saya percaya, kalau kita pernah bercerai atau sedang menghadapi risiko perceraian, Yesus dapat menolong kita mengatasi kesan-kesan buruk perceraian, atau Dia dapat menolong kita mengelakkan perceraian.
-         Mari kita mengkaji ajaran Yesus tentang tidak boleh bercerai dengan lebih dalam lagi.

B.   Konteks Ajaran Yesus
-    Pada masa itu, Yesus menghadapi bantahan daripada pihak Farisi yang mempertikaikan kebanyankan ajaran Yesus. Pihak Farisi nak menanya Yesus tentang hukum Taurat Musa yang tercatat di Ulangan 24:1, ‘Andaikata seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, lalu dia mendapati sesuatu yang tidak disukainya pada isterinya.  Oleh itu lelaki itu memberikan surat cerai kepadanya dan mengusir dia dari rumahnya.’
-    Terdapat rabi (guru) Taurat aliran Hillel mentafsirkan “yang tidak disukainya” sebagai “apa saja yang membuat hati suami tidak senang. Sedangkan rabi Taurat aliran Shammai menghadkan eartinya kepada “perzinaan oleh isteri”.  Tetapi, bagi aliran Shammai, kahwin lagi bukan dianggap sebagai perzinaan.
-      Yesus nampaknya berpihak kepada pendirian aliran Shammai.  Tetapi, Dia lebih konsisten, kalau seseorang yang bercerai itu bukan kerana dosa perzinaan atau dosa yang lebih kurang sama dengannya, dan dia kahwin lagi, dia berdosa perzinaan.  Itu sebabnya, Dia kata di ayat 9, ‘Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.’
-   Yesus membawa pihak Farisi balik ke waktu penciptaan Allah di mana lelaki dan perempuan diciptakan mengikut maksudNya (Kejadian 1:27).  Dan mengikut Kejadian 2:24, Yesus mengatakan firman Allah, ‘...seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.’ Satu di sini bererti satu daging hubungan seks di antara lelaki dan perempuan, ia adalah hubungan yang sangat dalam antara dua orang yang bersetubuh.
-     Atas sebab satu daging di antara suami dan isteri, Yesus seterusnya memberikan ajarannya tentang pendirian perkahwinan orang Kristian di ayat 6, ‘Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu.  Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.’
-      Yesus tidak membenarkan manusia meruntuhkan perkerjaan Allah.  Perkahwinan orang lelaki dan perempuan itu tidak boleh dipatahkan, diceraikan oleh kita Kristian.
-     Kata-kata Yesus di ayat 6 ini pun menerima serangan dari orang Farisi.  Di ayat 7, mereka terus menanya Yesus kenapa Musa membenarkan orang Yahudi menceraikan isterinya.
-    Jawapan Yesus ialah Musa membenarkannya kerana mereka susah diajar atau keras hati di ayat 8.
-    Di samping itu, nabi Maleakhi ada ajaran yang sangat serius di Maleakhi 2:16, ‘Tuhan Allah Israel berfirman, “Aku membenci perceraian.  Aku tidak suka apabila salah seorang daripada kamu berbuat hal sekejam itu terhadap isterinya.  Pastikanlah supaya kamu tidak memungkhiri janji untuk tetap setia kepada isteri kamu.”
-   Kenapa demikian? Ini adalah langsung berdasarkan ajaran satu daging, dan suami-isteri tidak boleh bercerai.   Kalau kita bercerai sebagai Kristian, kita berdosa dan mesti menghadapi akibat dosa itu.
-    Di ayat 10, pengikut-pengikut Yesus pula berasa ajaran Yesus tentang perkahwinan yang tidak boleh bercerai itu adalah sangat ketat, mereka terus berasa lebih baik tidak berkahwin.  Jawapan Yesus adalah amat praktikal sekali.  Dia memberikan tiga sebab di ayat 11 dan 12 tentang orang yang tidak kahwin: (1) Orang yang dipanggil Allah supaya tidak kahwin (ayat 11); (2) orang yang dilahirkan mandul (ayat 12); dan (3) orang yang mengabdikan diri kepada Allah.
-   Yesus menegaskan hanya orang yang sanggup menerima ajarannya boleh memilih tidak berkahwin.
-   Ajaran Yesus tentang perkahwinan bagi Kristian and manusia seluruah dunia berdasarkan perenggan di atas ini ialah:
(a).  Tujuan Allah sebenarnya bagi perkahwinan telah dinyatakan apabila Dia mencipta lelaki dan perempuan.  Mereka menjadi satu.
(b).   Mereka bersatu melalui satu daging sehingga mereka tiada identiti sendiri.
(c).   Dengan menegaskan Allah yang menyatukan suami-isteri itu dan manusia tidak boleh memisahkannya, Dia berusaha nak memulihkan keadaan perkahwinan seluruh umatnya.
C.   Aplikasi
-         Ajaran Yesus tentang perkahwinan antara lelaki dan perempuan adalah satu daging mesti mencabar kita merespon kepadaNya.
-         Saya mengajar jemaah supaya mengamalkan ajaran Yesus tentang perkahwinan melalui sekurang-kurangnya tiga cara.
-         (1)  Memandangkan hubungan suami dan isteri adalah satu daging, hubungan yang diberkati oleh Yesus, kita menganggapnya sebagai suci.  Di depan mata Allah, ia adalah suci dan baik.  Segala hawa-nafsu di antara lelaki dan perempuan hanya boleh dipuaskan melalui perkahwinan saja.  Hubungan seks yang di luar perkahwinan adalah tidak suci dan berdosa dan dibenci oleh Yesus.  Maka, kita kena mengawal hawa-nafsu kita.  Kalau kita sebagai suami-isteri yang menegakkan ajaran Yesus, kita tidak mungkin bercerai.  Mereka yang bercerai adalah mereka yang tidak nak menurut ajaran Yesus, dan tidak mengawal hawa-nafsu.
-         (2)  Bagi mereka yang mempertimbangkan perceraian, fikirkanlah kesan-kesannya.  Kesan-kesannya selalunya adalah sesuatu yang kamu tidak jangkakan.  Mereka yang bercerai itu akan berasa berdosa.  Kamu berasa seakan-akan kamu hilang sebahagian nyawa kerana bahagian nyawa itu kamu meninggalkannya dekat di jiwa jodoh dulu kamu.  Ke mana-mana saja kamu pergi, kamu akan berasa jodoh dulu kamu itu ada bersama kamu.  Hati kamu dilukai dan lama sembuh.   Kesan yang terutamanya ialah anak kamu akan bersalah hilang dan sesat. Mereka akan berasa malu dan menghadapi tekanan rakan sebaya.  Mereka berasa susah nak menjawab soalan saudara-mara.  Mereka akan kehilangan teladan seorang ibu atau bapa.  Mereka akan berasa hilang keyakinan diri.  Mungkin pada masa depan, mereka juga tidak yakin terhadap perkahwinan mereka sendiri. 
-         (3)  Kalau berlakunya konflik yang serius yang tidak dapat diatasi, kamu perlu minta bantuan pastor, ketua kumpulan kecil, atau kongsi masalah kamu dengan seorang kawan baik.  Biasanya, pihak ketiga lebih objektif dan tidak berat sebelah.  Mereka dapat menyokong dan mendorong kamu menuju ke arah yang benar dan tidak membuat keputusan yang salah.  Mereka boleh memberikan kaunseling mengikut ajaran firman Allah.  Biasanya selepas kaunseling, kita dapat merendahkan diri dan membiarkan firman Allah memimpin perkahwinan kita.
D.    Kesimpulan
-         Saya doakan bahawa sebagai anak dan murid Yesus, kita menegakkan ajaran Yesus untuk tidak bercerai dalam perkahwinan apabila ada masalah.
-         Kita memilih untuk mengatasi masalah dan bertumbuh secara rohani dan memuliakan Yesus.
-         Sebaliknya, kalau tidak, kita memalukan diri, keluarga, gereja dan nama Yesus juga.

Oleh Rev Law Hui Seng
(2hb Oktober, 2014)



No comments: